MUQADDIMAH
Aqidah yang sahih dan sempurna merupakan syarat pertama untuk menjamin amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Tanpa aqidah Islamiah yang tulen, amalan tidak akan diterima oleh Allah SWT walaupun ia berbau Islam.
Firman Allah s.w.t. :
أجعلتم سقاية الحآج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجهد فى سبيل الله لا يستوون عند الله
Maksudnya : “ Apakah (orang-orang) yang memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan menguruskan Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepaada Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah”.
(At-Taubah : 19)
ASAS AJARAN ISLAM
Asas ajaran Islam ialah pengucapan syahadatain. Ia adalah muqaddimah kepada ajaran ini.
Kalimah syahadah mengandungi dua tuntutan besar. Tuntutan keimanan kepada Allah yang mencakupi aspek-aspeknya dan tuntutan beriman kepada Rasululah SAW dengan beberapa aspek yang mesti diimani.
HUBUNGAN SYAHADAH DENGAN ISLAM
Ia seperti hubungan antara roh dan jasad. Syahadah yang diucapkan tidak akan memberi apa-apa erti kepada tuannya kecuali ia tahu apa yang diucapkan.
Ucapan itu, hendaklah dilafazkan dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh, tidak main-main. Mana-mana ucapan yang tidak bersungguh-sungguh dan tidak tahu maksud yang diucapkan itu dan ditambah pula dengan rasa yang tidak yakin, syahadah seperti itu tidak bererti bahkan orang seperti itu dikatakan pembohong dan pengkhianat.
Ia samalah seperti seorang saksi di mahkamah. Seorang saksi berhak menerangkan sesuatu jika ia betul-betul lihat dan tahu, kemudian penyaksian itu hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah ia dikatakan benar. Begitulah sebaliknya.
KESEMPURNAAN SYAHADAH
Syahadah hanya akan sempurna apabila memenuhi syarat-syarat seperti berikut :
1. MENGAKU DENGAN LIDAH : Dengan erti sesorang itu mengaku dan mengucap dengan lidahnya bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.
2. KEPERCAYAAN DI DALAM HATI : Iaitu hatinya percaya dengan bersungguh-sungguh bahawa apa yang diucapkan oleh lidah adalah betul dan benar.
3. MELAKUKAN TUNTUTANNYA DENGAN ANGGOTA : Setelah kedua-dua hati dan lidah sebulat kata, maka anggota dengan rela melakukan kehendak tuntutan dari ucapan syahadah itu.
TAUHID ULUHIYAH DAN RUBUBIYYAH
Kedua-dua tauhid di atas tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Di dalam syahadah ada kalimah “Ilah” yang mempunyai kaitan kukuh antara Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah.
Tauhid Rububiyyah ialah mengi’tiqadkan atau mengaku bahawa Allah SWT Yang Esa sahaja mencipta alam seluruhnya, mentadbir dan mengurus, menghidup dan mematikan. Di tanganNyalah kerajaan dan kekuasaan serta memiliki segala sesuatu.
Seluruh umat manusia beriman kepada Rububiyyah ini tidak kira kafir atau Muslim. Firaun walaupun ia mengaku dirinya tuhan tetapi di dalam hatinya mengaku beriman kepada Tauhid Rububiyah kerana ia mengaku bahawa pencipta alam ini adalah Allah Yang Maha Esa, sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya :
قال لقد علمت ما أنزل هؤلآء الا رب اسموات والأرض بصائر وانى لظنك يفرعون مبثورا
Maksudnya : “ Musa berkata : Sesungguhnya engkau mengetahui, tiada yang menurunkan ayat-ayat itu melainkan Tuhan langit dan bumi sebagai keterangan (atas kebenaran). Sesungguhnya aku menyangka engkau hai Firaun orang binasa”.
Orang kafir termasuk musyrikin Arab apabila ditanya sipakah pencipta langit dan bumi, mereka menjawab Allah yang menciptanya.
Firman Allah s.w.t. :
ولئن سألتهم من خلق السموات والأرض ليقولن الله قل الحمد لله بل أكثرهم لا يعلمون
Maksudnya : “ Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Mereka akan menjawab : “Allah” , tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.
(Luqman : 25)
Tauhid Uluhiyyah iaitu mengi’tiqadkan bahawa Allah Yang Maha Esa sahaja yang layak dan mesti disembah dan tidak boleh menyekutuiNya dengan sesuatu. KepadaNya sahajalah tempat bertawakkal (tempat berserah) dan Dia sahajalah yang mempunyai kekuasaan dan pemerintahan.
Apabila seseorang itu telah beriman dengan Tauhid Uluhiyyah dengan sendirinya ia beriman dengan tauhid Al-Sifat Wal Af’al dan Tauhid Rububiyyah. Kerana setelah dia menyembah Allah, dia mestilah mengenal sifat kesempunaanNya yang termasuk di bawah Tauhid Al-Sifat wal Af’al dan Rububiyyah.
Orang yang beriman dengan Tauhid Ulhiyyah dikatakan telah Islam tetapi tidak sebaliknya. Dengan erti orang yang hanya beriman dengan Tauhid Rububiyyah semata-mata tidak digolongkan dengan orang-orang yang sebenar-benar beriman kepada Allah SWT.
TUGAS SEORANG RASUL MENGAJAK MANUSIA KEPADA TAUHID ULUHIYYAH
Tauhid Uluhiyyah yang meliputi ketiga-tiga jenis tauhid (Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa sifat), adalah satu-satunya tauhid yang dituntut oleh Allah SWT dan kerana itu Rasul diutuskan. Setiap Rasul mengajak ummatnya supaya beriman dengan Tauhid Uluhiyyah dan ia dikatakan ajaran asasi yang diajar oleh para anbiya’. Allah SWT berfirman :
وما أرسلنا من قبلك من رسول الا نوحى اليه انه لا اله الا أنا فاعبدون
Maksudnya : “ Dan tidak Kami utuskan sebelum engkau (Muhammad) daripada rasul-rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya : Bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Aku. Maka sembahlah olehmu akan Aku”.
Antara tuntutan syahadah ialah beriman kepada Rasul dengan erti mengenali Baginda SAW dan dijadikan tempat rujukan kedua selepas Al-Quran. Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi dan Rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT.
Oleh itu apabila seseorang itu menyaksikan bahawa Muhammad SAW itu Rasul Allah dia mesti menghayati firman Allah yang memerintah supaya mengikuti Rasul SAW sebagai tanda pengabdiannya kepada Allah SAW.
FirmanNya :
قل ان كنتم تحبون الله فاتبعونى يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم والله غفور رحيم
Maksudnya : “ Katakanlah : Jika kamu benar-benar mencintai Allah ikuitlah aku (Muhammad) nescaya Allah mengasihani kamu dan mengampuni dosa-dosamu, Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
(Ali Imran : 31)
FirmanNya lagi :
فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدوا فى أنفسهم حرجا مما قضيت ةيسلوا تسليما
Maksudnya : “ Demi tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad s.a.w.) hakim pada perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa berat terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya”.
(An-Nisa’ : 65)
SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA
Apabila seseorang telah bersyahadah dengan kalimah syahadah, ia dianggap Islam, tetapi Islamnya tidak akan sempurna kecuali setelah menuaikan tunutan tauhid atau syahadah itu sendiri. Tuntutannya meliputi seluruh tuntutan Allah SWT dan Rasul SAW di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Secara ringkas tuntutan tersebut seperti berikut :
1. BERIMAN DENGAN PERKARA GHAIB
Perkara ghaib yang dimaksudkan itu beriman dengan rukun iman yang enam ; BERIMAN DENGAN ALLAH SWT, MALAIKAT, KITAB-KITAB, RASUL-RASUL, HARI AKHIRAT DAN QADHA’ QADAR.
2. MENUNAIKAN RUKUN ISLAM
Tauhid juga menuntut orang yang melafazkannya supaya menunaikan segala ibadat yang diwajibkan dengan sempurna dan betul mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW, tidak memadai dilakukan ketika senang atau seketika sahaja.
Sesiapa yang tidak menunaikan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sedangkan ia cukup syarat wajibnya, ia tidak boleh dianggap Muslim kerana Islam tidak memadai dengan hanya mengucap sahaja, tetapi mesti disertakan dengan amalan anggota sebagaimana yang tersebut di atas.
3. AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
Syahadah yang diucapkan memaksa tuannya melakukan amar ma’ruf nahi mungkar yang merupakan sebesar-besar kewajipan agama setelah seseorang itu beriman kepada Allah SWT.
FirmanNya :
كنتم خير امة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله .......
Maksudnya : “ Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, menyuruh mengerjakan yang benar (baik) dan melarang ynag jahat, serta beriman kepada Allah”.
(Ali Imran : 110)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Sesiapa yang melihat kemungkaran dilakukan, maka hendaklah diubah dengan tangan, jika tidak berkuasa hendaklah diubah dengan lidah, jika tidak berkuasa juga hendaklah dilawan dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman”.
Difahamkan dari hadis ini, sesiapa yang tidak melawan satu-satu kemungkaran sedangkan dia berkuasa, dia bukanlah orang Mukmin. Lebih-lebih lagi kalau sesorang itu memberi sokongan dan redha dengan kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya. Kerana orang yang melawan dengan hati adalah orang yang palinga lemah imannya. Jika redha, tidak melawan langsung atau memberi sokongan bererti imannya tidak ada. Orang seperti ini telah diistilahkan oleh Rasululah SAW sebagai syaitan bisu.
4. MENGHUKM DENGAN HUKUM ALLAH DAN MENDIRIKAN KERAJAAN ISLAM
Allah SWT telah memerintahkan kaum Muslimin supaya melaksanakan hukum Islam dan undang-undangnya. Di dalam Al-Quran banyak hukum yang telah diterangkan oleh Allah untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian.
Allah SWT telah memberikan amaranNya kepada mereka yang tidak mahu menghukum apa yang telah diturunkanNya dengan firmanNya :
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكفرون .......الظابمون .......الفاسقون
Maksudnya : “ Barangsiapa yang tidak maenghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir…….zalim…….fasik”.
Mereka yang tidak menghukum enggan apa yang diturunkan oleh Allah bererti mereka menolak Tauhid Uluhiyyah kepada Allah SWT dan juga mereka telah menolak ikrar dan pengakuan mereka terhadap syahadahnya melalui amalan mereka (amalan tidak menghukum dengan hukum Allah). Tuntutan melaksanakan hukum Allah ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerajaan Islam. Sebab itulah mengikut pandangan Said Hawa dalam Kitabnya “Tentera Allah” bahawa mendirikan kerajaan Islam sekarang adalah fardu ain bukan lagi fardu kifayah.
5. MENGADAKAN MASYARAKAT ISLAM
Masyarakat Islam adalah masyarakat yang melaksanakan Islam dalam segenap lapangan, baik dalam lapangan aqidah, syariat (undang-undang), peraturan dan akhlak.
Masyarakat Islam tidak lahir kecuali lahirnya sekumpulan manusia yang menyembah Allah SWT dengan sempurna dan tidak menyembah yang lainnya serta tidak mematuhi undang-undang selain dari undang-undang Allah. Kemudian cara hidupnya berlandaskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dan tidak mengikuti peraturan-peraturan ciptaan manusia.
PENUTUP
Tiada gunanya keimanan kepada Allah itu dikerat-kerat mengikut selera individu. Islam meletakkan iman itu sama ada beriman secara mutlak kepada Allah dan RasulNya atau meninggalkannya secara mutlak.
Serahlah aqidah dan diri kamu kepada Allah. Sama ada penyerahan itu dilakukan atau tidak, kamu tetap akan datang berserah kepadaNya pada hari kiamat nanti.
Semoga kertas kerja yang ringkas ini akan dapat dimanfaatkan bersama sama ada kepada penulis atau pembaca sekelian.
Rujukan :
1.Terjemahan Al-Quran.
2.Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah, Tuntutannya Terhadap Ulama’.
3.Syahadah dan Tuntutannya Dalam Kehidupan Muslim.
You Like It?? Sila lah LIKE ..
Followers
Networked Blogs
Wednesday, January 5, 2011
SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment